Berita

Percaya keupayaan penjawat awam, kerajaan henti guna khidmat perunding luar – KSN

Penglibatan kumpulan penjawat awam sepenuhnya dapat mengurangkan kos perbelanjaan pelaksanaan

PUTRAJAYA 1 Dis – Khidmat perunding luar tidak akan digunakan dalam perkhidmatan awam kecuali dalam keadaan kepakaran tertentu yang tidak dimiliki, kata Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata ia sejajar dengan kepercayaan tinggi Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap keupayaan penjawat awam dalam melaksanakan projek dan agenda pembangunan, daripada bergantung kepada khidmat perunding luar.

“Sebab itu perdana menteri selalu sebut dulu di peringkat awal kita sering kali melantik perunding untuk menjalankan tugas (tetapi) beliau selalu berkata, tidak, tidak, tidak.

“Kamu semua (penjawat awam) ada keupayaan untuk melaksanakan tugasan, jadi diberikan kita (penjawat awam) peranan untuk membangunkan negara,” katanya dalam wawancara sempena setahun pentadbiran kerajaan perpaduan.

Zuki berkata pelaksanaan projek pembangunan kerajaan yang melibatkan kumpulan penjawat awam sepenuhnya dapat mengurangkan kos perbelanjaan pelaksanaan kerana perunding luar dibayar sehingga mencecah ratusan ribu ringgit terutamanya jika melibatkan perunding dari luar negara.

Sekarang ini, kata beliau, kerja-kerja rundingan membabitkan projek pembangunan dilakukan sepenuhnya oleh penjawat awam termasuk membuat rangka tindakan, yang membuktikan kumpulan penjawat awam berkeupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

Beliau berkata menggunakan khidmat perunding dalaman juga dapat mempercepatkan pelaksanaan projek dengan kerjasama penjawat awam rentas kementerian yang akan bekerja sebagai satu pasukan.

“Contohnya projek sekolah daif di SK Bandar Baru Bangi yang berjaya disiapkan dalam tempoh 22 hari sahaja berbanding jangkaan awal mungkin mengambil masa hampir setahun.

“Dulu kalau nak bina sekolah-sekolah ini kena lantik perunding luar bagi khidmat arkitek, jurutera, juruukur bahan dan sebagainya, tetapi sekarang semua kita buat dalaman, ada pegawai teknikal iaitu seperti pasukan perunding dari Jabatan Kerja Raya sendiri, ” katanya.

Ini kerana pelbagai prosedur yang menjadi kekangan contohnya seperti proses perolehan bagi projek menaik taraf sekolah daif mengambil masa lama sehingga tiga bulan, sedangkan sekolah tersebut perlu diperbaiki dengan cepat, kata beliau.

Zuki berkata penjawat awam seharusnya bersedia untuk menjalani latihan untuk menimba pengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang yang diperlukan dalam projek pembangunan tersebut. – Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button