Percutian Berakhir Tragedi, Kanak-kanak 6 Tahun Maut Lemas di Kolam Air Panas Alor Gajah

Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut dipercayai akibat lemas ketika mandi-manda di sebuah kolam air panas di Alor Gajah, Melaka malam tadi. Mangsa yang datang bersama keluarganya dari Pahang ditemui orang awam dalam keadaan terapung di kolam dewasa kira-kira pukul 7.40 malam.
Menurut sumber, kejadian itu dilaporkan kepada Sukarelawan Paramedik Komuniti Melaka (Parakom) yang berada di lokasi sebelum CPR diberikan. Mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada pukul 8.24 malam.
“Semasa kejadian, mangsa dikatakan berada di bawah pengawasan ibu saudara dan kakaknya, namun kanak-kanak lelaki itu dipercayai telah pergi ke kolam dewasa tanpa disedari sebelum ditemui lemas oleh orang awam di situ,” kata sumber.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitenden Ahmad Abu Bakar mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes sedang disiasat Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) IPK Melaka.
Petugas Parakom, Nor Azura Tamsir, 35, berkata dia terdengar jeritan meminta bantuan perubatan sebelum melihat seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menarik mangsa ke tepi kolam. “Mangsa ketika itu tidak sedarkan diri dan mulutnya sudah berbuih, saya telah melakukan CPR sebanyak tiga kitaran, namun mangsa masih tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” ujarnya.
Kawasan tersebut hanya mempunyai sebuah kolam kanak-kanak dan sebuah kolam dewasa dengan kedalaman kira-kira 1.2 meter. Kejadian ini mengingatkan kepentingan pengawasan rapi ke atas kanak-kanak ketika beraktiviti di kawasan berair.








