Politik

Perdana Menteri nafi spekulasi rombakan Kabinet

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau mengetahui berlakunya kemungkinan rombakan barisan Jemaah Menteri susulan timbul desas desus mengatakan seorang menteri penting akan digugurkan.

“Itulah baru saya diberitahu (mengenai dakwaan rombakan Kabinet). Saya tak dengar lagi. Siapa nak tolong rombakan Kabinet? Siapa nak tolong?

“Saya tak dengar… serius, saya tak dengar,” katanya menjawab pertanyaan media susulan laporan mendakwa rombakan Jemaah Menteri dijangka berlaku sekurang-kurangnya menjelang akhir bulan ini kepada media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Terdahulu, sebuah portal yang memetik sumber KEADILAN mendakwa seorang menteri dari parti itu mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan dari Jemaah Menteri.

Menurut sumber itu prestasi menteri terbabit telah ‘dipersoalkan’.

Seorang menteri besar pula dipercayai akan menjawat jawatan menteri, kata sumber itu.

Ketika diminta mengulas dakwaan menteri besar dilantik sebagai menteri, Anwar hanya berkata:

“Selepas pilihan raya akan datang, insya-Allah.”

Sementara itu di platform media sosial beberapa nama jemaah menteri mula berlegar ekoran spelulasi berkenaan termasuk Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan beberapa menteri dari parti itu.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button