Berita

Perdana Menteri hadiri sambutan Hari Malaysia 2024 di Sabah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sambutan Hari Malaysia tahun 2024 yang diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu malam tadi.

Anwar tiba kira-kira jam 8.20 malam diiringi isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail disambut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama isteri masing-masing serta Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni turut hadir memeriahkan majlis.

Ketibaan Juhar dan isteri pada 8.30 malam disambut oleh Fahmi dan Christina serta menteri kabinet kerajaan negeri.

Nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku memulakan Sambutan Hari Malaysia 2024 sebelum penonton disajikan dengan persembahan Tarian Sambut Tamu yang menampilkan kepelbagaian tradisi serta budaya rakyat Malaysia.

Kira-kira 15,000 rakyat hadir seawal jam 4 petang lagi dalam keadaan hujan lebat sehingga kini namun mereka tidak berganjak menzahirkan kecintaan kepada negara.

Prapersembahan Sambutan Hari Malaysia 2024 telah bermula dari 5 petang hingga 7.30 malam yang diselang-selikan dengan persembahan artis dan ketibaan tetamu jemputan.

Bertema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, para hadirin teruja memeriahkan sambutan itu dan mula membanjiri Padang Merdeka seawal 5 petang malah mereka turut memberikan sorakan serta tepukan gemuruh.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button