Perdana Menteri hulur sumbangan kepada 109 mangsa banjir di Melaka

Bencana banjir yang melanda Melaka hujung minggu lalu membuatkan penduduk terjejas memohon bantuan bagi meringankan beban yang dialami.
Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diwakili Setiausaha Politik Kanan beliau Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin turun meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Ar-Rasyidin Seri Bayu, Alor Gajah pada Selasa.
Menurut hantaran di media sosial, ini merupakan PPS pertama dilawatinya sebelum ke PPS seterusnya yang terletak di kawasan sekitar Masjid Tanah yang turut terkesan dan menyampaikan sumbangan kepada 109 mangsa di beberapa PPS di daerah itu.
“Di PPS ini telah ditempatkan sebanyak 59 buah keluarga iaitu seramai 163 mangsa yang terjejas dalam bencana banjir di kawasan sekitar ini tidak termasuk PPS yang lain.
“Saya turut menyerahkan sumbangan dari YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 109 mangsa yang terkesan setakat 12 Ogos 2024 di PPS ini termasuk di PPS seterusnya.
“Turut serta dalam lawatan ini adalah Tuan Yang Terutama Yang diPertuan Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam dalam kebersamaan meninjau keadaan mangsa yang terkesan dalam bencana banjir.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih buat semua agensi kerajaan terlibat seperti APM, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Melaka, JKM, PDRM, KKM, Rela dan lain-lain. Saya juga doa agar mangsa yang terlibat tabah dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya.
Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan dan para pegawai agensi berkaitan.
Pada April lalu, Shamsul Iskandar berkata pihaknya sudah berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan selain jabatan dan agensi berkaitan mengenai langkah itu dalam menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan.
“Kita akan meneliti isu-isu banjir ini supaya tindakan secara komprehensif dapat diambil. Malah Perdana Menteri daripada awal telah menyatakan komitmen kerajaan untuk membangunkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) demi kepentingan rakyat.
“Datuk Seri Anwar juga maklum isu banjir ini merupakan satu masalah yang sangat membebankan penduduk dari segi kewangan terutama pasca banjir,” katanya kepada pemberita di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal.