Berita

Perdana Menteri kecam cubaan bunuh Trump

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam insiden tembakan ke atas calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika berkempen di Pennsylvania.

Mengulas insiden tersebut, beliau berharap keadaan terkawal dan menegaskan keganasan bukanlah jawapan, walaupun ada pihak yang menentang tokoh politik berkenaan.

“Apa pun pendirian anda terhadap mana-mana tokoh, ini bukan cara untuk menyelesaikan isu ini.

“Justeru kita melahirkan rasa simpati terhadap Trump dan berharap keadaan terus terkawal,” katanya dipetik AWANI.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan 2024 di MAEPS Serdang hari ini.

Insiden tembakan yang menimpa Trump ketika beliau berucap di hadapan ribuan penyokongnya menggemparkan negara itu.

Begitupun, Trump “dalam keadaan baik” selepas dilaporkan cedera dalam insiden tembakan semasa berkempen di negeri Pennsylvania.

Trump dilihat mengalami kecederaan pada telinga kanannya yang berlumuran berdarah ketika dibawa keluar dari pentas, menurut rakaman media sosial.

Agensi Anadolu melaporkan jurucakap Trump, Steven Cheung berkata bekas presiden itu “dalam keadaan baik”.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengulangi bahawa Malaysia mengutuk serangan dan keganasan berterusan oleh rejim Israel ke atas Palestin.

“Malaysia sekali lagi menyatakan pendirian kami bahawa kami mengutuk sekeras-kerasnya keganasan tidak berperikemanusiaan yang berterusan oleh rejim Israel,” katanya.

Wisma Putra pada Ahad mengecam serangan bertubi-tubi Israel ke atas rakyat Palestin, termasuk serangan udara yang dilakukan ke atas kem pelarian al-Mawasi pada Sabtu.

Dalam satu kenyataan, ia berkata serangan udara itu berlaku di dalam kawasan yang ditetapkan oleh Israel sendiri sebagai zon selamat untuk rakyat Palestin.

Serangan itu mengakibatkan kehilangan banyak nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan ratusan yang lain.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button