Berita

Perdana Menteri mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah bermula malam ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke negeri ini, bermula malam ini.

Beliau dijadual tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, pada jam 8 malam.

Sejurus tiba, Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis makan malam anjuran kerajaan negeri di sebuah hotel di sini.

Esok (12 September), beliau dijadual ke FELDA Sahabat, Lahad Datu bagi menghadiri program `Segalanya FELDA’ bermula pada jam 9.30 pagi.

Selesai majlis di Pantai Timur Sabah itu, Anwar dijadual kembali ke ibu negeri bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bermula jam 2.30 petang.

Program di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu dijadual turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mesyurat yang bakal dipengerusikan oleh Anwar itu dijangka diadakan selama dua jam.

Selesai mesyuarat, Perdana Menteri dijadual terus ke Terminal 2, KKIA untuk kembali ke ibu negara.

Ia adalah lawatan keempat beliau ke Sabah sejak April lalu dengan yang terakhir ketika menghadiri Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah di SICC pada 4 Ogos lalu.

Anwar sekali lagi dijadual datang ke Sabah pada Isnin ini bagi menghadiri sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun 2024 di Padang Merdeka, di sini.

Sambutan akan bermula jam 7 malam menghimpunkan rakyat bagi memperingati peristiwa penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 sebelum Singapura keluar pada 9 Ogos 1965.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button