Perdana Menteri seru rakyat tidak sia-siakan pengorbanan pejuang kemerdekaan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar tidak mensia-siakan pengorbanan darah, air mata dan keringat para pejuang kemerdekaan terdahulu.
“Apakah ertinya kemerdekaan yang telah kita kecapi sejak 67 tahun lalu sekiranya jiwa kita masih terbelenggu hingga mengizinkan ketelanjuran pimpinan yang sama sikapnya seperti penjajah yang diusir suatu ketika dahulu?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana bebas dan berjiwa merdeka.
Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia mempunyai potensi untuk mencipta kejayaan luar biasa sekiranya setiap rakyat, tanpa mengira kaum, bersepakat ke arah satu matlamat yang menjulang darjat dan martabat negara sebagai sebuah negara yang hebat dan gagah di mata dunia.
Terdahulu pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya beliau memuji ‘lontaran’ tenaga dan keseragaman lebih 500 warga Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), yang terlibat dalam persembahan khas ‘Cuci Rasuah’ selama kira-kira tujuh minit itu.
Ia dipersembahkan sebagai dedikasi buat Anwar membasmi amalan itu dalam pentadbirannnya sejak mengepalai Kerajaan Perpaduan pada November 2022.
Persembahan ‘Cuci Rasuah’ itu merupakan cetusan idea Pengarah Artistik dan Konsep bagi sambutan Hari Kebangsaan 2024 Rosnan Nordin, yang didedikasikan kepada perjuangan Anwar dalam membanteras rasuah dengan diiringi lagu hasil ciptaan Rosnan bertajuk ‘Cuci Rasuah’ yang pertama kali dipertontonkan pada Sabtu.