Ekonomi

Perdana Menteri terima jemputan Presiden Putin hadiri sidang BRICS di Kazan

Malaysia bakal menyertai persidangan BRICS yang akan berlangsung di Kazan, Rusia bermula 22 hingga 24 Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkongsian di media sosialnya, beliau berkata, jemputan itu disampaikan secara peribadi oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, sewaktu mesyuarat dua hala dan sesi makan malam khas untuk delegasi Malaysia pada Rabu.

Anwar berkata, jemputan itu jelas menunjukkan kepentingan Malaysia dari sudut pandang Rusia, dan ia juga menandakan satu langkah penting ke arah matlamat utama negara untuk menyertai kumpulan itu.

Media sebelum ini melaporkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS pertama kali dizahirkan Perdana Menteri pada Jun lepas, dengan blok antara kerajaan itu dianggarkan menguasai satu per lima perdagangan global, serta mewakili 40 peratus populasi dunia.

BRICS, yang asalnya dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, kini disertai Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan anggaran kira-kira 32 lagi negara telah menyatakan minat untuk menyertainya.

Dalam pada itu media Kremlin News melaporkan Putin sebagai berkata, Rusia kini sedang memberi tumpuan untuk meningkatkan lagi hubungan dengan ASEAN.

“Kita sedia maklum bahawa Malaysia sedang memainkan peranan sebagai pemimpin dalam kumpulan tersebut. Tahun hadapan Malaysia akan menjadi pengerusi ASEAN, dan saya berharap dalam tempoh tersebut, kita dapat mencari titik permulaan baharu dengan rantau yang semakin berkembang ini,” ujarnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Anwar Ibrahim (@anwaribrahim_my)

Sebagai tambahan, Putin turut menyentuh mengenai jumlah perdagangan antara Rusia dan Malaysia yang menghampiri AS$3.5 bilion, serta peluang yang cukup besar untuk mengembangkan lagi hubungan tersebut.

Dalam pada itu Anwar turut menzahirkan harapan agar Rusia mengambil jalan yang konstruktif ke arah resolusi yang aman dan mampan susulan konfliknya dengan Ukraine.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kedua-dua mereka juga bersetuju bahawa komuniti antarabangsa mesti meningkatkan tekanan bagi menghentikan kempen genosid Israel di Gaza.

“Dalam kita membina komitmen dan berkongsi visi yang dibincangkan sepanjang lawatan ini, saya optimistik apa yang dicapai hari ini akan membawa ke arah kerjasama yang lebih bermakna di antara Rusia dan Malaysia dalam tahun-tahun yang mendatang,” katanya lagi.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button