Berita

Perhilitan buru pencuri misai bangkai harimau belang terbabit kemalangan di Lebuhraya PLUS

Sebagai rekod, tinggalan daripada harimau antaranya misai serta gigi harimau itu dipercayai oleh segelintir pihak kononnya mampu membawa tuah

IPOH 9 Nov – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak akan menyiasat berhubung tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang mencuri bahan berupa misai daripada bangkai harimau belang yang ditemui di KM 303.4 Lebuhraya PLUS dekat Gua Tempurung malam tadi.

Mengesahkan perkara itu, Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, berkata selain siasatan yang dijalankan pihaknya, perkara itu akan turut disusuli dengan laporan polis.

“Kita akan siasat. Rasanya buat sementara ini cukup untuk pihak saya katakan kita akan siasat (mengenai kecurian misai dari bangkai). Pegawai saya akan buat laporan polis,” katanya ketika dihubungi petang ni.

Beliau ditanya tindakan susulan berhubung satu video tular memaparkan terdapat beberapa individu dilihat sedang mencabut misai daripada karkas (bangkai) harimau jantan dewasa yang maut itu.

Sebagai rekod, tinggalan daripada harimau antaranya misai serta gigi harimau itu dipercayai oleh segelintir pihak kononnya mampu membawa tuah, selain beberapa kepercayaan lain hingga ada kalanya dijadikan tangkal dan azimat yang kononnya membawa manfaat tertentu.

Sementara itu dalam kenyataan Yusoff berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati harimau terbabit tercampak di tengah pembahagi jalan selepas dilanggar sebuah treler yang tidak berhenti sejurus melanggar haiwan dianggarkan berusia antara lapan hingga 10 tahundengan berat 100 kilogram itu.

Katanya, kawasan kejadian itu berdekatan dengan Hutan Simpan Bukit Kinta di mana harimau yang dilanggar terbabit disyaki adalah harimau belang yang pernah menimbulkan konflik di beberapa lokasi di sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini PERHILITAN Daerah Kinta pernah menerima aduan serangan harimau belang ke atas ternakan di Kampung Jelintoh, Gopeng, pada 20 Oktober lalu dan sebagai tindakan susulan PERHILITAN sudah memasang perangkap pada 25 Oktober lalu di kawasan Kampung Jahang, Gopeng.

“Pihak Jabatan juga sudah memasang sebuah perangkap kamera bagi memantau pergerakan harimau belang yang menimbulkan konflik di kawasan terbabit,” katanya.

Menurutnya lagi, bangkai haiwan liar berkenaan diserahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi setakat jam 4.54 petang berkata pihaknya sedang berusaha untuk mengesan treler atau kenderaan berat yang dipercayai melanggar harimau yang ditemukan mati itu.

Katanya, bagaimanapun setakat waktu ini belum ada sebarang laporan polis diterima oleh pihaknya berhubung insiden harimau berkenaan termasuk mengenai video memaparkan misai bangkai harimau itu dicuri.

“Betul kawasan kejadian itu di bawah pentadbiran saya tetapi hingga kini tiada sesiapa maklum pada kami tentang harimau terbabit dan setakat ini kami tidak terima apa-apa laporan lagi.

“Kami sedang usahakan untuk kesan lori yang melanggar harimau terbabit,” katanya.- Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button