Berita

Perketat kawalan sempadan, elak kemasukan kambing murah – Mohamad Sabu

Selain mengganggu pasaran, kambing murah juga diragui daripada segi aspek kesihatan.

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa kawalan sempadan untuk meningkatkan kawalan bagi menangani isu kemasukan kambing murah dari Thailand.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata selain mengganggu pasaran kambing tempatan, kemasukan kambing itu juga diragui dari aspek kesihatan kerana tidak melalui pemantauan dan pemeriksaan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Kenapa kambing dari Thailand begitu murah, antara sebabnya adalah ia kambing lepas (tidak dijaga), maknanya kita tidak tahu sama ada berpenyakit atau tidak, masuk pun tidak lalui pemeriksaan JPV.

“Untuk itu, kita akan minta pihak penguatkuasaan di sempadan untuk bertindak termasuk mengadakan pemeriksaan lebih kerap bagi menangani isu ini,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai langkah diambil kerajaan dalam menangani rungutan penternak kambing tempatan berhubung lambakan kambing murah dari Thailand yang dijual pada harga RM100 hingga RM250 seekor di pasaran ketika ini.

Berhubung isu kekurangan padi benih di pasaran, Mohamad berkata pihaknya memberi amaran keras kepada pembekal benih supaya tidak menyembunyikan benih padi bagi mengelak berdepan tindakan undang-undang.

Beliau berkata kementerian melalui pihak berkuasa berkaitan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang berbuat demikian dan beberapa tangkapan telah dilakukan hasil pemeriksaan di 20 lokasi dijadikan tempat menyembunyikan benih padi itu.

“Jangan sorok bekalan…kita akan bertindak secepat mungkin melalui penguatkuasaan ke atas mereka yang menyembunyikan benih padi,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) berkenaan tindakan terhadap pihak yang menyembunyikan benih padi.

Mohamad turut mengingatkan pembekal padi benih tidak menggunakan situasi semasa untuk menekan sesuatu pihak demi mencapai cita-cita dengan menyeksa orang lain.

“Jangan seksa orang lain untuk capai cita-cita tertentu, ketepikan seketika soal rundingan harga, itu kita boleh runding kemudian tetapi soal tanam padi ini, kita perlu segerakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata bayaran pampasan kepada penternak terjejas akibat penularan African Swine Fever (ASF) atau demam babi Afrika di empat negeri sedang dalam peringkat akhir penyelesaian.

Sebanyak RM8.1 juta, katanya, telah selesai dibayar kepada penternak dari Melaka dan Perak manakala bayaran berjumlah RM8.64 juta terhadap pengusaha ternakan babi dari Johor serta Pulau Pinang sedang dalam proses pembayaran.

“Memang kerajaan membantu dari segi bayaran ganti rugi tersebut…ini menunjukkan bukan sahaja lembu, kambing yang kena penyakit yang disubsidi kerajaan tetapi juga babi dan pembayaran sedang dilaksanakan,” katanya menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka). — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button