Perkukuh pengawasan perairan, Maritim Malaysia sedia teroka teknologi AI
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyambut baik hasrat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, yang menggesa setiap jabatan dan agensi di bawah kementeriannya memahami dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengoperasian masing-masing.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, Maritim Malaysia sentiasa proaktif dalam meneroka penggunaan teknologi moden seperti AI sebagai langkah strategik dalam memperkukuh pengawasan keselamatan perairan negara.
Tambah beliau, dengan adanya teknologi AI ini, ia bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada rondaan fizikal, tetapi juga meningkatkan keberkesanan operasi di kawasan yang sukar dicapai.
“Penggunaan dron atau bot autonomi yang dikawal melalui teknologi AI misalnya, dilihat mampu menjalankan rondaan automatik di kawasan yang luas, mengesan aktiviti mencurigakan, dan menganalisis data masa nyata untuk tindakan pantas,”
Beliau berkata demikian melalui Kenyataan Media rasmi yang dikeluarkan oleh Maritim Malaysia sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah disempurnakan Menteri Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.
Pada Kenyataan Media yang sama, Mohd Rosli turut memaklumkan Maritim Malaysia kini merancang perolehan radar baharu untuk diletakkan di kawasan strategik seperti perairan Sarawak dan pantai timur Semenanjung.
Penempatan radar ini ujar beliau, akan memperluaskan liputan pengawasan maritim, selain meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
“Radar-radar baharu ini akan disepadukan dengan teknologi AI di bawah sistem Malaysia Coast Guard Maritime Domain Awareness (MCGMDA) di mana ia mampu menganalisis data dengan lebih komprehensif dan responsif,”
“Gabungan teknologi ini diyakini dapat memperkukuh keselamatan serta memastikan keberkesanan penguatkuasaan di perairan Malaysia,” tambah beliau.
Mohd Rosli dalam pada itu turut berharap usaha yang dilaksanakan Maritim Malaysia mendapat sokongan penuh daripada KDN dalam memastikan pelaksanaan penggunaan teknologi ini dapat diaplikasikan dengan berkesan.
“Penerapan teknologi AI bukan sahaja relevan tetapi juga menjadi keperluan strategik untuk menghadapi cabaran keselamatan maritim pada masa hadapan,”
“Penggunaan teknologi ini juga membolehkan Maritim Malaysia mengoptimumkan sumber manusia dan aset sedia ada, selain memastikan kawalan yang lebih efisien di perairan negara, terutama dalam menangani ancaman seperti penyeludupan, pencerobohan nelayan asing, dan jenayah maritim,” katanya lagi.
Sementara itu Mohd Rosli turut memaklumkan, pihaknya melalui Unit Komunikasi Korporat (UKK) Maritim Malaysia sentiasa memastikan penyaluran maklumat kepada media untuk operasi yang dijalankan adalah berpandukan kepada Pelan Komunikasi yang telah disusun agar berita yang ingin disampaikan kepada masyarakat terancang dan berfokus.