Berita

Perlu ada RM240,000 simpanan KWSP kalau mahu bersara secara bermaruah – Ahmad Maslan

Sekiranya rakyat Malaysia pencen usia 55 tahun, simpanan KWSP tersebut boleh digunakan sehingga berusia 75 tahun.

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Rakyat Malaysia perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 simpanan KWSP untuk bersara dengan bermaruah.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah itu membolehkan mereka yang pencen bertahan selama 20 tahun dengan pendanaan RM1,000 sebulan.

Beliau berkata, sekiranya rakyat Malaysia pencen usia 55 tahun, simpanan KWSP tersebut boleh digunakan sehingga berusia 75 tahun.

Katanya, untuk itu, rakyat Malaysia perlu memikirkan tentang simpanan hari tua dengan kadar yang telah disebutkan.

Menurutnya, pihak KWSP ada menyediakan khidmat nasihat persaraan bagi membantu ahli celik kewangan dan memahami pilihan persaraan yang mampan.

“Sepatutnya apabila bersara kita ada RM240,000 minima simpanan KWSP dengan kiraan RM1,000 sebulan dan itu adalah selama 20 tahun, kita pencen pada usia 55 dan campur 20 tahun, jadi 75 tahun..75 tahun ini antara jangka hayat rakyat negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan di Menara KWSP di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Dalam perkembangan sama, seramai 535,307 ahli sektor tidak rasmi yang mencarum KWSP secara sukarela.

Katanya, angka tersebut agak rendah dan untuk itu KWSP telah melancarkan trak bergerak untuk mempromosi caruman sukarela di kawasan pedalaman. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Back to top button