Berita

Pertambahan aset dan sumber manusia antara strategi tangani isu pencerobohan Zon Maritim Malaysia

PERTAMBAHAN aset laut dan udara serta penambahan sumber manusia dan teknologi terkini antara strategi yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam menangani isu pencerobohan di Zon Maritim Malaysia.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, strategi berkenaan adalah langkah mitigasi yang dirancang oleh Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan sempadan perairan negara sentiasa terpelihara.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah

Zawawi turut memaklumkan, hasil daripada rondaan dan operasi yang dijalankan di seluruh perairan negara, Maritim Malaysia merekodkan 434 kes tangkapan vesel nelayan asing (VNA) dari tahun 2020 hingga Julai 2024 yang terdiri daripada VNA Vietnam (308), Indonesia (81), Thailand (35) dan China (10).

Ujar beliau, angka berkenaan hanya sebahagian daripada jumlah VNA yang memasuki perairan negara berikutan terdapat kekangan yang dihadapi seperti kekurangan kapal dan bot kerana perlu menjalani penyelenggaraan berjadual selain aset yang dimiliki telah uzur.

Melihat kepentingan tersebut, Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memastikan sebuah Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) yang dinamakan KM Tun Fatimah siap dibina dan beroperasi di perairan Laut China Selatan.

Di samping itu KDN telah melaksanakan perolehan empat buah helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland (AW) 189 untuk Agensi ini dalam mempertingkatkan lagi pemantauan udara di Zon Maritim Malaysia khususnya di kawasan sempadan perairan negara terutamanya bagi keperluan di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Simposium Keselamatan Negara 2024 yang telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail di sini petang semalam.

Turut hadir sama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi, Timbalan – Timbalan Ketua Setiausaha KDN serta Ketua-Ketua Pengarah Jabatan dan Agensi di bawah KDN.

Zawawi dalam pada itu turut berkata, daripada jumlah kes VNA berkenaan, Maritim Malaysia merekodkan seramai 3,694 orang nelayan asing telah ditahan sepanjang 2020 hingga Julai 2024 atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu beliau turut mengulas hasrat Datuk Seri Saifuddin untuk KDN terus menjadi penyumbang kedudukan negara agar kekal berada dalam 10 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI).

Beliau memaklumkan Maritim Malaysia akan memastikan keselamatan maritim negara terus berada pada tahap optimum sekaligus menjadi laluan selamat kepada kapal dagang yang melalui perairan negara di samping aktiviti ekonomi dapat dilakukan tanpa sebarang ketakutan dalam kalangan nelayan tempatan serta pengusaha bot komersial.

Beliau juga berharap, keselamatan yang dipertingkatkan ini juga dapat menarik lebih banyak pelabur asing untuk masuk ke dalam negara memandangkan Malaysia telah diiktiraf sebagai salah sebuah negara selamat di dunia.

Artikel Berkaitan

Back to top button