PETALING JAYA: Ketua Bersatu Melaka, Dr. Yadzil Yaakub, berkata jawatannya sekarang telah membuatnya terdedah kepada serangan yang menyebabkan bahagian yang dipimpinnya, Jasin, digantung minggu lalu.
Yadzil, yang sedang bertanding untuk kerusi dalam Majlis Pimpinan Tertinggi parti dalam pemilihan Bersatu bulan depan, juga berkata terdapat usaha untuk mensabotaj kerjaya politiknya.
Sebelum penggantungan bahagian itu, beliau berhasrat mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Jasin menentang Jeehan Adam, Ketua Wanita Bersatu Jasin.
Namun, Yadzil berkata beliau tidak gentar dengan serangan sedemikian.
“Mungkin ini salah satu cara untuk melemahkan saya (dengan menggantung bahagian). Tetapi, mereka (pesaing) telah tersilap perkiraan.
Saya tidak bimbang. Malah, saya lebih yakin bahawa rakan-rakan parti saya bersama saya,” katanya kepada FMT.
Yadzil, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, memperkecilkan penggantungan bahagian yang dipimpinnya, dengan menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam menguruskan parti untuk memastikan pemilihan berjalan lancar.
Semalam, FMT melaporkan bahawa bahagian Jasin parti itu digantung selepas didakwa gagal mengadakan mesyuarat.
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, mengesahkan perkara itu dan berkata bahagian tersebut kini akan diuruskan dan ditadbir oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.
Sumber memberitahu FMT bahawa penggantungan itu berlaku selepas didapati terdapat bahagian yang gagal mengadakan mesyuarat walaupun mendakwa sebaliknya.