Berita

Pesan dadah guna Telegram ‘Pasir Berdengung’, hantar guna kurier

Empat suspek yang berumur lingkungan 31 hingga 32 tahun itu ditahan dalam operasi serbuan di sebuah kondomium di kawasan terbabit pada jam 6.40 petang.

SHAH ALAM 18 Jan – Polis berjaya membongkarkan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang menggunakan aplikasi Telegram dengan penangkapan empat lelaki tempatan di kawasan Glenmarie Industrial Park di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, keempat-empat suspek yang berumur lingkungan 31 hingga 32 tahun itu ditahan dalam operasi serbuan di sebuah kondomium di kawasan terbabit pada jam 6.40 petang.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis ganja dengan anggaran berat 6.53 kilogram yang bernilai RM20,243.

“Hasil siasatan mendapati, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan yang diterima melalui aplikasi Telegram.

“Pesanan dadah yang ditempah oleh pelanggan dihantar melalui kurier yang menggunakan syarikat yang dinamakan Pasir Berdengung,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, segala kegiatan urusniaga suspek dengan pelanggan hanya menggunakan ‘Group Telegram’ berkenaan, begitu juga proses pembayaran dibuat ke satu akaun khas.

“Kegiatan ini menggunakan satu akaun Telegram dengan nama Pasir Berdengung.

“Apabila terima bayaran dari pelanggan, suspek akan hantar dadah melalui perkhidmatan kurier ke alamat pelanggan yang membuat tempahan dan suspek menggunakan pelbagai kurier.

“Siasatan mendapati, kondominium berkenaan menjadi tempat pembungkusan dan segala kegiatan mereka termasuk tempat simpanan dadah. Ada pengawal keselamatan dan kita perlu kad akses untuk ke kondominium itu,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, siasatan kegiatan pengedaran dadah ini aktif sejak setahun lalu dan dipercayai untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang.

“Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 21 Januari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1953.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, kesemua suspek positif dadah jenis Kanabis. Semakan juga mendapati Salah seorang dari suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kes Akta Racun,” katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button