Pesara wanita hilang RM3.8 juta sekelip mata ditipu ‘scammer’
Wanita itu ditakutkan dengan penglibatannya dalan aktiviti pengubahan wang haram sebelum memindahkan semua wangnya ke akaun lain

SHAH ALAM 15 Sept – Seorang wanita pesara swasta dari Subang Jaya kerugian RM3.8 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan telefon.
Mangsa yang berusia 70 tahun menerima panggilan telefon yang mendakwa dia terbabit dalam jenayah pengubahan wang haram.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata mulanya wanita itu menerima satu panggilan telefon dari nombor tidak dikenali pada November tahun lalu yang mana pemanggilnya memperkenalkan diri sebagai pegawai syarikat insurans serta menyatakan ada tuntutan insurans yang dibuat menggunakan nama pengadu.
“Pengadu menafikan beliau membuat sebarang tuntutan insurans. Panggilan kemudian disambungkan kepada pihak polis dan pihak polis itu menyatakan nama pengadu terbabit dalam kes jenayah pengubahan wang haram dan pengadu boleh ditangkap,” katanya, dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata pemanggil kemudian menyatakan untuk mengesahkan pengadu tidak terbabit dengan jenayah dan pihak polis perlu menyiasat akaun dan wang hasil yang dimiliki oleh pengadu serta mengarahkan wanita itu membuka akaun bank dengan mendaftar nombor telefon yang diberikan oleh suspek untuk urusan perbankan dalam talian bagi akaun yang dibuka itu.
“Pengadu kemudian diminta menyerahkan nombor akaun dan butir-butir perbankan akaun bank itu kepada suspek supaya akaun pengadu dan hasil pendapatannya mudah untuk dikawal bagi tujuan siasatan.
“Wanita itu telah diarahkan untuk memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun (baharu dibuka) itu untuk tujuan siasatan dan tidak dibenarkan untuk mengakses akaunnya selama beberapa bulan untuk tujuan siasatan dan kesemua resit kemasukkan wang dalam akaun bank berkenaan perlu dihapuskan atau dibuang,” katanya.
Hussein berkata pengadu yang dalam keadaan panik, ketakutan dan kegusaran telah terpedaya dan memindahkan kesemua wang dan gadaian emas miliknya berjumlah RM3.839 juta ke dalam akaun yang baru dibuka itu.
“Semalam, pengadu telah pergi ke bank dan membuat semakan akaun bank berkenaan dan mendapati akaun tersebut hanya berbaki RM79.59 dan baru menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan,” katanya.
“Polis juga menegaskan tidak menjalankan apa-apa siasatan secara dalam talian lebih-lebih lagi mengarahkan orang ramai memindahkan wang mereka ke dalam mana-mana akaun bank untuk tujuan siasatan,” katanya. – Xklusif