Pesawat AirAsia AK76 bawa rakyat Malaysia dari Bangladesh selamat tiba di KLIA2
![](https://xklusif.my/wp-content/uploads/2024/07/WARGA-MALAYSIA-TIBA-DARI-DHAKA-780x470.jpg)
Pesawat AirAsia yang membawa rakyat Malaysia dari Dhaka, Bangladesh telah selamat tiba di Terminal 2, KLIA2, Sepang pada jam 4.56 petang semalam.
Seramai 123 rakyat Malaysia selamat menaiki penerbangan khas AirAsia AK76 pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka, susulan ketegangan yang berlaku di Bangladesh.
Dari jumlah itu, 80 orang adalah pelajar dan selebihnya rakyat Malaysia yang menetap di negara itu.
Semua penumpang menaiki pesawat itu pada jam 11.23 pagi waktu tempatan (Bangladesh).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud turut berada di KLIA2 menyambut ketibaan mereka.
Proses membawa pulang mereka berjalan lancar, walaupun tertangguh lebih 1 jam dari yang dijadualkan berikutan proses di kaunter Imigresen agak perlahan.
Lapangan terbang di ibu kota Bangladesh itu dikawal ketat anggota tentera susulan perintah berkurung di seluruh negara itu sejak Sabtu lalu.
Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai lalu susulan keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.
Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara Sabtu lalu sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi, lapor Astro Awani.