Pesawat terhempas: 10 termasuk EXCO Pahang disahkan terkorban
Pesawat itu dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Sekurang-kurangnya 10 mangsa termasuk seorang EXCO Kerajaan Pahang, terkorban dalam nahas pesawat sewa khas, yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina di sini, petang tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 2.40 petang tadi, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di Elmina.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pesawat berkenaan yang berlepas dari Langkawi sudah diberi kebenaran oleh Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.
“Namun pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.
“Semasa terhempas pesawat sama dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing direkodkan seorang setiap kenderaan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Hussein berkata pada masa ini pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 10 mangsa yang terkorban.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, mengambil masa hampir 10 minit bagi memadam kebakaran.
Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk bedah siasat.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1), terhempas di kawasan kejadian.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat bernombor pendaftaran N28JV yang dikendali oleh Jetvalet Sdn. Bhd.
Katanya, seramai enam penumpang dan dua kru penerbangan berada di dalam pesawat berkenaan dan keadaan mereka masih belum disahkan pada masa ini.
“Hubungan pertama yang dibuat oleh pesawat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada pukul 2:47 petang dan pelepasan pendaratan diberi pada pukul 2:48 petang.
“Pada pukul 2:51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang memerhatikan asap yang berpunca daripada lokasi nahas tetapi tiada panggilan mayday (isyarat kecemasan) yang dibuat oleh pesawat itu.
“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan untuk menyelaraskan misi mencari dan menyelamat.
“Siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya. — Xklusif