Pesawat terhempas di Brazil, 61 terbunuh
Sekurang-kurangnya 61 orang terkorban selepas sebuah pesawat turboprop terhempas berhampiran Sao Paulo, Brazil, semalam.
Syarikat penerbangan serantau Voepass berkata, pesawat itu, berlepas dari Cascavel, Parana, menuju ke lapangan terbang antarabangsa Sao Paulo.
Ia terhempas sekitar jam 1.30 tengah hari waktu tempatan (1630 GMT) di bandar Vinhedo, kira-kira 80 km (50 batu) barat laut Sao Paulo.
Pegawai di Valinhos berkata, tiada mangsa yang terselamat manakala hanya satu kediaman di kompleks kondominium yang rosak akibat terkena serpihan manakala tiada penduduk yang cedera.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan pesawat ATR-72 itu berpusing sebelum terjunam di belakang pokok berhampiran perumahan diikuti kepulan asap hitam yang besar.
Penduduk, Daniel de Lima berkata, dia mendengar bunyi yang kuat sebelum melihat ke luar kondominiumnya di Vinhedo.
“Ia (pesawat) berpusing, tetapi tidak bergerak ke hadapan. Tidak lama kemudian ia jatuh dan meletup.
“Saya percaya juruterbang cuba mengelak kawasan kejiranan berdekatan, yang padat dengan penduduk,” katanya.
Pihak berkuasa tidak menyatakan punca nahas walaupun Ketua Pusat Siasatan Kemalangan Penerbangan Brazil (CENIPA), berkata kotak hitam pesawat sudah ditemui.
Ketua CENIPA, Marcelo Moreno memberi amaran dalam sidang akhbar bahawa masih terlalu awal untuk menentukan punca nahas.
“Daripada apa yang kami boleh maklumkan setakat ini, pesawat itu tidak menghubungi pusat kawalan trafik untuk melaporkan kecemasan.
Voepass, syarikat penerbangan keempat terbesar Brazil berkata, ia tidak dapat memberikan sebarang maklumat tambahan mengenai punca pesawat itu terhempas.
Laporan awal menyatakan seramai 62 orang berada di dalam pesawat itu, tetapi media tempatan menemu bual seorang lelaki yang mengatakan dia terlepas penerbangan malang itu.
Secara keseluruhan, pesawat itu membawa 57 penumpang dan empat anak kapal, kata Voepass.
ATR Franco-Italian, yang dimiliki bersama Airbus dan Leonardo, adalah pengeluar utama pesawat turborprop serantau yang memuatkan 40 hingga 70 orang.
ATR memberitahu bahawa pakarnya terbabit secara penuh dalam siasatan ke atas nahas berkenaan.
Penyiasat Perancis dan Kanada akan turut mengambil bahagian dalam siasatan itu.
Pengawal selia keselamatan Eropah juga berkata ia akan menawarkan bantuan teknikal.
Nahas itu adalah yang terburuk di Brazil selepas 199 orang terbunuh pada 2007 dalam penerbangan yang dikendalikan oleh TAM, yang kemudiannya menyertai LAN untuk menjadi LATAM Airlines sekarang. – REUTERS