Pesawat terhempas: Mangsa sempat jerit Allahuakbar – Saksi
Pesawat itu membawa 8 lelaki termasuk dua juruterbang

SHAH ALAM 17 Ogos – “Saya dengar jeritan Allahuakbar beberapa kali daripada penunggang motosikal yang terbakar itu yang sempat bergerak sedikit namun kami semua tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu marak.”
Itu kata pekerja Pengurusan Air Selangor yang ingin dikenali Ihsan, 37, yang melihat kejadian sebuah pesawat terhempas dekat kawasan perumahan Elmina kawasan di Seksyen U16, di sini, hari ini.
Menurutnya, sebelum kejadian itu dia sedang membaca meter air berhampiran lokasi terbabit dan menaiki motosikal ke Persiaran Elmina untuk membaca meter di lokasi seterusnya namun tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat di belakang.
“Saya pusing belakang lihat kepulan asap dan terus berpatah balik.
“Ketika itulah saya lihat penunggang motosikal itu menjerit kalimah Allah dan bergerak sedikit sebelum rentung dalam kebakaran itu,” katanya.
Ihsan berkata, ketika itu dia juga melihat seorang dari pesawat itu berada di luar dalam keadaan rentung.
Sekurang-kurangnya 10 mangsa termasuk seorang EXCO Kerajaan Pahang, terkorban dalam nahas pesawat sewa khas, yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina di sini, petang tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 2.40 petang tadi, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di Elmina. — Harian Metro