Berita

Pesawat terhempas: ‘Orang baik ALLAH sayang…’ – Wanita tak sangka rider terkorban sepupu sendiri

Pesawat itu dilaporkan terhempas di kawasan Elmina yang kebetulan sedang dilalui mangsa

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Identiti penunggang motosikal yang maut dalam nahas pesawat terhempas di di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, petang semalam dikenal pasti sebagai Muhamad Hafiz Muhamad Salleh.

Perkara itu dikongsikan sepupu mangsa, Nurul Nazihah dalam satu hantaran di Facebook selepas menyedari bahawa mangsa adalah saudaranya sendiri.

“Allahuakbar… patutlah rasa sedih sangat-sangat. Simpati dengan rider yang terbakar kemalangan pesawat dekat Elmina.

“Rupanya adik sepupu sendiri. ALLAH ALLAH…awatlah (kenapalah) kena dekat orang yang aku kenal ini.

“Aku tak kuat nak hadap benda ni. Polis baru dapat detect Apit (panggilan Muhamad Hafiz) mangsa yang terlibat,” katanya.

Nurul Nazihah berdoa agar arwah Muhamad Hafiz ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Dia juga memohon agar diberi kekuatan untuk keluarganya menghadapi ujian perit itu.

“Al-fatihah untuk Apit. Orang baik ALLAH sayang kan,” katanya.

Sementara itu, di Twitter, @teynamira turut berkongsikan bahawa rider itu adalah sepupu kepada suaminya.

“Yang (mangsa naik) motor tu sepupu suami saya. Parents arwah dalam perjalanan ke hospital dari Kedah.

“Kami masih macam tak percaya lagi dengan kejadian ini,” ujarnya.

Difahamkan Muhammad Hafiz berasal dari Sidam, Kedah dan berhijrah ke Selangor selain bekerja sebagai penghantar makanan.

PESAWAT
Sebuah pesawat ringan terhempas di Elmina, Shah Alam mengorbankan 10 nyawa

Selain Muhamad Hafiz, nahas pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) itu turut mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

Mangsa lain yang maut ialah dua juruterbang pesawat, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.

Identiti lima penumpang lain ialah Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Seorang lagi orang awam iaitu pemandu kereta yang terlibat dalam insiden berkenaan akan disahkan melalui siasatan polis.

Terdahulu Xklusif melaporkan 10 mayat mangsa nahas pesawat itu sudah ditemui bersama lima bungkusan cebisan badan yang terpisah dengan semuanya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat. Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button