Pestabola Merdeka: Palestin sah tarik diri
Konflik peperangan yang melanda negara Asia Barat itu dengan rejim Israel menjadi salah satu punca pasukan itu tidak dapat sertai Pestabola Merdeka kali ini

KUALA LUMPUR 10 Okt – Tiada perubahan format atau venue pada kejohanan Pestabola Merdeka 2023 meskipun negara Palestin membuat keputusan untuk menarik diri pada saat-saat akhir awal pagi tadi.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram berkata, konflik peperangan yang melanda negara Asia Barat itu dengan rejim Israel menjadi salah satu punca pasukan itu tidak dapat sertai Pestabola Merdeka kali ini.
Kata Sivasundaram, pihak FAM sudah berusaha untuk mencari pasukan pengganti tetapi kekangan masa pada saat akhir menyukarkan lagi hasrat tersebut sekali gus terpaksa mengekalkan format sedia ada.
“Seperti yang kita tahu, konflik melibatkan negara Palestin ketika ini telah membatalkan hasrat mereka untuk hadir ke Pestabola Merdeka. Justeru, FAM buat keputusan untuk mengekalkan format sedia ada.
“Situasi ini menyaksikan Malaysia akan tetap bertemu India pada Jumaat ini manakala Tajikistan yang sepatutnya bertemu Palestin akan mendapat bye untuk terus ke final.
“Mengenai pasukan pengganti, FAM sudah berusaha tetapi kita hanya dapat pengesahan daripada Palestin awal pagi tadi dan masa agak suntuk.
“Malah, kita difahamkan mereka sudah berada di sempadan tetapi tidak dapat berlepas,” katanya pada sidang media khas di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi. – Xklusif