
Peter Cklamovski dari Australia telah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak kebangsaan, berkuat kuasa 1 Januari.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata misi pertama Cklamovski adalah untuk memastikan Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Dalam satu kenyataan, FAM menyatakan ia turut mengharapkan Cklamovski dapat meningkatkan kedudukan pasukan dalam ranking Fifa dengan matlamat untuk mencapai kedudukan 100 teratas. Malaysia kini berada di kedudukan ke-132.
Jurulatih berusia 46 tahun itu menggantikan Pau Marti Vicente, yang dilantik sebagai ketua jurulatih sementara selepas pemergian awal jurulatih Korea Selatan, Kim Pan Gon, pada bulan Julai.
Cklamovski memulakan kerjaya sebagai ketua jurulatih di Jepun bersama Shimizu S-Pulse dalam J-League pada tahun 2020.
Pada 11 November, Tokyo FC mengesahkan bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan itu, jawatan yang dipegangnya sejak Jun 2023.
Beliau mula dikenali sebagai pembantu jurulatih kepada pengurus bola sepak Australia dan bekas pemain, Ange Postecoglou, dan bekerjasama rapat dengannya semasa Postecoglou melatih Brisbane Roar, Melbourne Victory, serta pasukan kebangsaan, Socceroos.
Kontrak Pan Gon pada asalnya dijadual tamat pada akhir 2025, tetapi beliau meletak jawatan pada bulan Julai atas alasan komitmen peribadi.
Dalam perkembangan lain, FAM mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain, sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan.