Sukan

Piala Malaysia: Selangor ‘lemas’ di Terengganu

Terengganu FC menewaskan Selangor FC 2-0.

KUALA LUMPUR 17 Sept – Terengganu FC memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila menewaskan Selangor FC 2-0 pada perlawanan suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu, malam ini.

Pasukan tuan rumah bermula garang apabila melakukan serangan seawal minit ketiga, namun Ivan Mamut gagal memanfaatkan  peluang terhidang ketika hanya berdepan penjaga gol pelawat, Samuel Somerville dan beliau terlepas lagi peluang untuk menjaringkan gol pendahuluan pada minit kelima dan ke-24 sekali gus mengecewakan lebih 13,000 penyokong tuan rumah.

Peluang terbaik skuad The Red Giants hadir pada minit ke-39 menerusi percubaan bola leret Richmond Boakye yang gagal ditangkap kemas Suhaimi Husin dan hampir disambar Faisal Halim, tetapi bola yang muntah itu berjaya dikeluarkan pemain pertahanan tuan rumah.

Bagaimanapun kesilapan pemain pertahanan Selangor FC, Quentin Cheng menjatuhkan Nurillo  Tukhtasinov  membawa padah apabila pengadil, Fitri Maskon menghadiahkan sepakan penalti kepada TFC yang berjaya disempurnakan  Mamut pada masa tambahan babak pertama untuk meletakkan TFC di depan.

Bersambung ke babak kedua, kedua-dua pasukan seakan hilang rentak permainan namun Selangor FC nyaris mengikat kedudukan selepas sepakan Ayron Del Valle pada minit ke-82 menggegar palang.

Pada masa tambahan pemain gantian, Muhamad Syahmi Zamri berjaya menambah jaringan untuk TFC selepas menanduk bola hasil hantaran Nik Shariff Haseefy Mohd Lazim pada masa kecederaan untuk kemenangan 2-0. — Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button