PETALING JAYA: Susulan video tular di media sosial, pihak berkuasa kebajikan menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang disyaki didera oleh ibu bapanya, semalam.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor telah memulakan siasatan semalam, lapor Bernama.
Kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.
Susulan penilaian pihak hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyediakan perlindungan kepada kanak-kanak tersebut di bawah Seksyen 25 (2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
Polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes ini, tambahnya.
Kementerian itu menggesa sesiapa yang mengetahui tentang kes penderaan untuk menghubungi pihak polis, atau menghubungi talian bantuan Talian Kasih di 15999 atau melalui WhatsApp di 019-261 5999.