Pimpinan negeri ambil alih pengurusan Bersatu Kuala Kangsar, Labuan – Hamzah
BERSATU amat komited dalam usahanya memperkasa Perikatan Nasional (PN) yang sudah mendapat mandat dan sokongan besar rakyat
KUALA LUMPUR 2 Nov – Semua Ahli Parlimen daripada BERSATU, kekal istiqamah menyokong kepemimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebarang cubaan pihak luar memecah-belahkan parti itu melalui tindakan dua Ahli Parlimennya yang bertindak menyokong kerajaan tidak akan berjaya.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, susulan tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, yang baru-baru menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pada masa yang sama, BERSATU amat komited dalam usahanya memperkasa Perikatan Nasional (PN) yang sudah mendapat mandat dan sokongan besar rakyat dalam pilihan raya umum dan pilihan raya negeri lalu.
“Justeru, BERSATU tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku disiplin dalam kalangan ahli, khususnya membabitkan Ahli Parlimen mahu pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Isnin lalu, Suhaili dalam satu kenyataan, menyatakan sokongannya kepada Perdana Menteri dan ia dibuat selepas mengambil kira semua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik yang berterusan.
Beliau ialah Ahli Parlimen kedua daripada PN yang bertindak sedemikian, selepas Iskandar Dzulkarnain melakukan perkara sama pada 13 Oktober lalu.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU memutuskan Badan Pimpinan Negeri mengambil alih pengurusan Bahagian Kuala Kangsar dan Labuan, sementara menunggu keputusan Lembaga Disiplin terhadap dua Ahli Parlimen itu, yang juga Ketua Bahagian di bahagian berkenaan.
Selain itu katanya, Naib Presiden parti, Datuk Dr Radzi Jidin pula dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, berkuat kuasa serta-merta bagi menggantikan Suhaili.
Sebelum ini, Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN, mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, beliau akan didakwa atas kesalahan rasuah.
Beliau mendakwa, tindakan menakut-nakutkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menafikan dakwaan Hamzah dan menuntut beliau mengemukakan bukti, selain menyifatkan tuduhan itu sesuatu yang serius dan sepatutnya dibuat laporan untuk disiasat. – Xklusif