Berita

Pinda laporan audit 1MDB: Najib, Arul Kanda kekal bebas

Mahkamah Rayuan membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan undang-undang

KUALA LUMPUR 12 Sept – Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy hari ini kekal dibebaskan daripada pertuduhan salah guna kuasa yang melibatkan dakwaan meminda laporan audit 1MDB.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan undang-undang.

Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim bersidang hari ini berkata pihak pendakwaan pada mulanya mempunyai masa sehingga 6 Julai untuk memfailkan petisyen rayuan mereka.

Mereka kemudian diarah oleh pendaftar mahkamah untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mengemukakan rayuan.

“Pada masa pengurusan kes, perayu telah diberikan arahan untuk memfailkan petisyen rayuan, tetapi telah gagal mematuhi arahan mahkamah,” kata Hadhariah.

Justeru kata hakim terbabit mereka memerintahkan supaya dua notis rayuan pihak pendakwaan sebelum ini dibatalkan.

Katanya keputusan itu dibuat berdasarkan undang-undang yang ada.

Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Disember 2018. Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb, 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Presiden UMNO itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan. – Malaysiakini 

Artikel Berkaitan

Back to top button