PM Anwar sahkan rombakan kabinet kecil, senarai calon sudah disiapkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan rombakan Kabinet yang bakal dilakukan hanya melibatkan beberapa jawatan terpilih dan senarai calon bagi mengisi kekosongan tersebut telah pun disenarai pendek. Beliau menjelaskan proses itu masih terbuka kepada pandangan pemimpin lain dan tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa meskipun keputusan akhir adalah prerogatifnya sebagai Perdana Menteri.
Anwar berkata beliau masih meneliti cadangan yang diterima dan belum berbincang dengan semua ketua parti, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Beliau menegaskan pelantikan baharu akan diputuskan selepas pertimbangan rapi dengan keutamaan kepada kepentingan rakyat dan agenda reformasi negara.
Menurutnya, rombakan tersebut bukan perubahan besar tetapi hanya bagi mengisi kekosongan beberapa portfolio yang kini dikendalikan secara sementara oleh menteri sedia ada. Empat jawatan yang masih kosong ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Menteri Ekonomi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.








