PM Anwar sumbang semua royalti buku untuk pelajar miskin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa seluruh royalti daripada buku terbaharunya, Rethinking Ourselves: Justice Reform and Ignorance in Postnormal Times, akan disalurkan sepenuhnya kepada pelajar miskin di seluruh negara.
Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan hasil jualan buku tersebut dapat dimanfaatkan golongan yang benar-benar memerlukan. Anwar menegaskan bahawa setiap sen royalti akan terus diberikan kepada pelajar terbabit tanpa perantaraan.
Buku setebal 240 muka surat itu menawarkan analisis mendalam mengenai pelbagai isu global termasuk pascakolonialisme, Islamofobia, demokrasi dan hala tuju tata dunia, selain menghimpunkan refleksi peribadi beliau tentang keadilan sosial, reformasi dan cabaran masyarakat dalam era pascanormal. Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau melancarkan buku berkenaan di Pavilion Bukit Jalil hari ini.








