PM tak mahu kompromi isu keselamatan siber
Rang Undang-Undang Keselamatan Siber akan digubal segera agar kerajaan bersedia menangani isu tersebut di dalam domain digital dan ekosistem siber.

KUALA LUMPUR 15 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, negara tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang melibatkan isu keselamatan siber.
Sehubungan itu, katanya, Rang Undang-Undang Keselamatan Siber akan digubal segera agar kerajaan bersedia menangani isu tersebut di dalam domain digital dan ekosistem siber.
Ujarnya, Malaysia harus menelusuri cabaran era digital yang menuntut kesiapsiagaan terbaik daripada seluruh jentera kerajaan.
“Perihal ini menjadi keutamaan bukan sahaja di dalam negara tetapi turut mencakup ehwal yang lebih besar di peringkat global kerana alam siber dan komunikasi digital meresapi pelbagai aspek dalam kehidupan.
“Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara sepakat agar suatu Rang Undang-undang Keselamatan Siber digubal segera untuk memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri berkata, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah dipertanggungjawabkan menggembleng usaha merentas entiti kerajaan serta pihak industri di dalam hal ini.
Pada masa yang sama, katanya, fungsi tugas beberapa entiti teras berkaitan keselamatan siber akan diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan dan memaksimakan kecekapan.
“Entiti dalam ekosistem siber akan terus mengekalkan kuasa yang membolehkan mereka melaksanakan fungsi masing-masing.
“RUU Keselamatan Siber akan memberi NACSA, MKN punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber.
“Menambah baik keberkesanan fungsi-fungsi NACSA, MKN sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No. 26 Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (Malaysia Cyber Security Strategy, MCSS),” katanya. — Xklusif








