Berita

PM tak sokong mana-mana parti politik baharu

Tindakan mengaitkan nama PM dengan parti politik baharu digunakan tanpa kebenaran.

KUALA LUMPUR 9 Okt. – PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyokong atau memperakui mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baharu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memandang, serius tindakan pihak yang secara sengaja menyalahgunakan nama Perdana Menteri bagi tujuan tertentu tanpa kebenaran.

“Tindakan sedemikian adalah amat tidak bertanggungjawab sekali gus memberi dampak negatif kepada kredibiliti Perdana Menteri dan pentadbiran kerajaan.

“Sehubungan itu, pihak Pejabat Perdana Menteri menasihatkan agar rakyat tidak keliru dengan kenyataan tidak rasmi yang dikeluarakan oleh mana-mana pihak,” katanya, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, seorang ahli perniagaan yang juga kenalan rapat Anwar menyatakan hasrat untuk menubuhkan parti politik baharu berasaskan kaum India di negara ini.

Ahli perniagaan berkenaan, P Thiagarajan berkata, segala keputusan yang akan dibuat akan disampaikan kepada Perdana Menteri.

“Saya telah memberitahu kepada Anwar mengenai majlis hari ini. Beliau berkata ‘teruskan’. Apa jua maklum balas hari ini, saya akan sampaikan kepadanya dalam masa terdekat.

“Sebarang keputusan muktamad akan diambil oleh beliau. Jangan risau, kita harap yang terbaik daripada PM kita,” katanya. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button