Berita

PM umum hasil negara capai unjuran RM238 bilion tahun lalu

Perdana Menteri berkata, angka lebih baik itu diperoleh hasil kutipan masing-masing RM183 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta RM55 bilion menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)

PUTRAJAYA 9 Jan – Hasil negara mencapai unjurannya tahun lalu dengan kira-kira RM238 bilion diperoleh kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, angka lebih baik itu diperoleh hasil kutipan masing-masing RM183 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta RM55 bilion menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Hasil negara, kita akhirnya dapat memenuhi unjuran yang tidak selalu dicapai. Kalau JKDM itu, memang lebih (kutipan) daripada yang diunjurkan. (Hasil dikutip) LHDN RM183 bilion dan JKDM RM55 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan yakin kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu mencapai tahap empat peratus.

“Kadar KDNK untuk tiga suku pertama 3.9 peratus, sasaran KDNK 2023.. insya-Allah empat peratus.

“(Bagaimanapun) sepertimana saya sebut, jangan kita terpukau dengan angka. Saya tak kata statistik itu menipu, statistik boleh dipertahankan, tapi kadang-kadang di beberapa kawasan itu, harga (barangan) itu mungkin berbeza, statistik ini angka purata saja,” katanya turut memaklumkan kadar inflasi akhir tahun lalu juga lebih rendah berbanding tempoh sama pada 2022.

Mengulas pelaksanaan penyasaran subsidi kerajaan, Anwar menjelaskan pentadbirannya fokus untuk meneruskan inisiatif berkenaan, sungguhpun wujud kebimbangan dan kritikan tertentu terhadap pelaksanaannya.

Beliau berkata, kerajaan dipimpinnya sama sekali tidak akan meneruskan agihan subsidi sehingga RM80 bilion setahun, selain menyifatkan ia hanya lebih menguntungkan golongan kaya dan warga asing, di samping berupaya merosakkan akar sendi ekonomi negara.

“Subsidi mencecah RM80 bilion tidak mungkin diteruskan. Sebab ia membebankan negara dan merosakkan akar sendi ekonomi negara. Tetapi tidak boleh ditarik subsidi sehingga membebankan rakyat.

“Maka apa yang dilakukan ialah menarik subsidi bagi 3.5 juta warga asing yang selama ini mendapat manfaat pada semua minyak, bekalan elektrik… semua mereka dapat guna subsidi selain orang yang maha kaya. Jangan kita beri sedekah kepada orang kaya,” katanya.

Beliau juga memaklumkan sudah mengarahkan Kementerian Ekonomi untuk menyegerakan pelarasan subsidi minyak petrol dan diesel.

“Saya sudah bincang degan Kementerian Ekonomi, supaya menyegerakan penyelarasan subsidi bagi minyak. Jika dengan penyasaran itu akan membebankan rakyat, kalau kita dapat kurangkan subsidi dan jimat ini, sebahagiannya akan dipulangkan balik kepada rakyat.

“Itu (pemulangan semula) sama ada dalam skim STR (Sumbangan Tunai Rahmah), eMadani yang kita berikan langsung kepada rakyat, bukan saja B40 tapi kebanyakannya juga (dinikmati) M40.

“Kita cuba tingkatkan jumlah bantuan, suntikan Rahmah dan eMadani secara langsung kepada rakyat, mudah-mudahan kita dapat bantu rakyat,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button