Politik

PN kekalkan kerusi di Sungai Bakap, majoriti meningkat 4,269 undi

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail secara tidak rasmi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu meraih 14,554 undi meninggalkan pencabarnya, Joohari yang memperoleh 10,285 undi sekali gus meraih majoriti 4,269 undi.

Keputusan tidak rasmi itu diperoleh menerusi kiraan di semua 66 saluran peti undi setakat jam 8.45 malam ini.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi itu PH hanya memenangi satu daripada lapan daerah mengundi iaitu Puteri Gunong dengan meraih 3,952 undi, dengan kelebihan tipis 369 undi.

PN menguasai tujuh daerah mengundi dengan memenangi semua sembilan saluran mengundi di Sungai Duri dengan meraih 3,101 atau majoriti 2,056.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap menyaksikan saingan satu lawan satu antara PH dan PN (PAS).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin manakala PN diwakili bekas eksekutif logistik, Abidin Ismail.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail secara tidak rasmi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap hari ini.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Naib Yang Dipertua PAS itu meraih 13,725 undi meninggalkan pencabarnya, Joohari yang memperoleh 9,816 undi dengan majoriti 3,909 undi.

Keputusan tidak rasmi itu diperoleh menerusi kiraan 63 daripada 66 saluran peti undi setakat jam 7.45 malam.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa keputusan malam ini mencerminkan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan bukan Melayu.

Dalam catatan di X, Rafizi berkata analisis awal menunjukkan peratusan pengundi Melayu adalah 70 peratus, manakala hanya 47 peratus pengundi Cina dan 58 peratus pengundi India keluar mengundi.

“Dengan jumlah keluar mengundi yang sangat berbeza di antara pengundi Melayu dan bukan Melayu, kerusi Sg Bakap menjadi kerusi majoriti besar Melayu (saluran-saluran bertukar dari Melayu-Bukan Melayu 55:45 kepada 75:25).

“Walaupun ada sedikit peralihan undi Melayu, keputusannya banyak dipengaruhi jumlah pengundi yang keluar,” katanya.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button