PN kumpul bukti MP pembangkang diugut kerajaan
Langkah itu perlu sebelum tindakan selanjutnya dilakukan termasuk membuat laporan polis

KUALA LUMPUR 3 Nov – Perikatan Nasional (PN) sedang mengumpul bukti berhubung dakwaan ugutan diterima Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata langkah itu perlu sebelum tindakan selanjutnya dilakukan termasuk membuat laporan polis.
“Kita sedang kumpul maklumat kerana kita ambil gambar mereka yang berjumpa dengan kita, kita nak tengok sama ada orang ini datang daripada mana.
“(Buat) laporan polis, tapi kita juga tahu ini jawapan yang akan diberikan tetapi yang penting berhenti buat semua benda ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PN di sini, hari ini.
Beliau mengulas perkembangan terkini mengenai dakwaan seorang Ahli Parlimen PN diugut supaya menyokong kerajaan.
Sebelum ini, Hamzah dilaporkan mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengugut Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid supaya menyokong kerajaan atau menghadapi pertuduhan rasuah.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menolak dakwaan itu dengan mendakwa tidak pernah menemui dua Ahli Parlimen PN itu.
Beliau meminta pembangkang itu menunjukkan bukti jika benar dakwaan itu. – Xklusif