PN umum nama calon Menteri Besar tak lama lagi
Calon yang terpilih akan mengangkat sumpah selepas diperkenankan Sultan di negeri masing-masing

SHAH ALAM 13 Ogos – Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan nama calon Menteri Besar baharu di ketiga-tiga negeri yang dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dalam masa terdekat.
Pengerusi PN yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini bagi mendapatkan perkenan daripada Sultan di negeri terbabit iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Kalau sekiranya nama-nama calon itu telah diperkenankan maka upacara angkat sumpah akan ditetapkan, mungkin dalam tempoh beberapa hari akan datang,” katanya pada sidang media di sini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta kepimpinan tertinggi gabungan itu.
Pada PRN kali ini, PN menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah selain kerusi Parlimen Kuala Terengganu serta 11 kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang, 22 di Selangor dan lima di Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak pasti sama ada nama beliau akan tercalon untuk dikekalkan terus mentadbir negeri Kedah.
Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.
“PN pusat yang akan putuskan (jawatan MB), saya tak tahu nama saya ada dalam senarai atau tidak.
“Saya hanya bercakap dalam kapasiti sebagai Pengarah Pilihan Raya. Setakat ini saya masih lagi Menteri Besar sementara sehinggalah berlaku pelantikan yang baharu,” katanya dalam sidang media di Kompleks Pas Kedah, di sini, pada awal pagi tadi.
Ditanya sama ada beliau mahu mengekalkan jawatannya, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu bukan sesuatu yang boleh diminta.
“Tak boleh minta jawatan (Menteri Besar Kedah) kerana ini adalah disiplin PAS,” katanya. — Xklusif