Pokok Sena, Sik, Baling paling panas di Semenanjung sekarang
Suhu maksimum harian di daerah terbabit pada masa ini antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut sejak semalam
ALOR SETAR 5 Feb – Tiga daerah di Kedah iaitu Pokok Sena, Sik dan Baling mengalami cuaca panas pada tahap satu (berjaga-jaga) sejak semalam, sekali gus menjadikan ia lokasi paling panas di Semenanjung pada masa ini.
Pengarah Jabatan Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz, berkata suhu maksimum harian di daerah terbabit pada masa ini antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut sejak semalam.
Katanya, keadaan cuaca panas ini dijangka berlarutan hingga hujung Mac atau awal April depan apabila fasa peralihan monsun berlaku.
Susulan itu, beliau menasihatkan aktiviti pembakaran terbuka dielakkan kerana tidak sesuai dilakukan pada musim kering yang menyebabkan haba panas ketika ini.
“Sejak semalam, daerah Pokok Sena, Sik dan Baling menjadi lokasi cuaca paling panas di Semenanjung dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
“Disebabkan keadaan itu, kita menasihatkan orang ramai mengelak daripada terdedah dengan cuaca panas bagi menjaga kesihatan, selain elak melakukan pembakaran terbuka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil, berkata sejak awal Januari hingga hari ini, pihaknya menerima panggilan berhubung kes pembakaran terbuka membabitkan hutan, lalang dan belukar di daerah itu.
“Semalam saja kami menerima tiga kes berkaitan pembakaran terbuka di kawasan hutan dan belukar serta api lalang.
“Sejak awal Januari lalu, lima kes kami terima dan ia dipercayai akibat cuaca panas yang melanda ketika ini,” katanya.
Sehubungan itu, Zulkhairi berkata, pihaknya kini bersedia menghadapi kemungkinan lebih banyak berlaku kes membabitkan pembakaran terbuka ketika cuaca panas pada waktu ini. – Xklusif