Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah mengenal pasti akaun TikTok yang menggunakan suara dan video seorang pakar perubatan tempatan tanpa kebenarannya untuk mempromosikan produk kesihatan.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Ramli Yoosuf, berkata akaun “Malaysia Shopping Mall” didapati mempromosikan produk perubatan dengan menggunakan suara dan video Dr Noordin Darus tanpa kebenaran.
“Bukit Aman mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai iklan di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kecanggihan teknologi AI telah membawa kepada kemunculan iklan yang menggunakan suara, wajah, dan video individu terkenal tanpa kebenaran, dengan tujuan untuk memperdayakan pembeli.
Ramli turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap promosi produk kesihatan yang meragukan dengan sumber yang tidak jelas, kerana ia mungkin merupakan produk tiruan yang boleh membahayakan pengguna.