Polis buru dua lelaki ragut rantai warga emas di Kampung Pandan

Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian ragut melibatkan rantai emas milik seorang warga emas di hadapan sebuah kuil di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab, berkata kejadian berlaku sekitar jam 2 petang ketika mangsa berusia 60 tahun sedang menuju ke kenderaannya. Mangsa dihampiri dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal sebelum salah seorang daripada mereka meragut rantai leher mangsa dan melarikan diri.
Beberapa orang awam yang berada di lokasi cuba membantu menangkap suspek, namun usaha mereka tidak berjaya. Buat masa ini, jumlah kerugian yang dialami mangsa masih belum dapat dipastikan.
Menurut Syahrul Anuar, anak saudara mangsa memaklumkan bahawa wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan fizikal tetapi berada dalam keadaan trauma dan belum bersedia untuk membuat laporan polis. Bagaimanapun, bapa kepada anak saudara mangsa mengalami kecederaan di tangan ketika cuba menghalang suspek daripada melarikan diri.
Polis kini sedang berusaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan kuil tersebut bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.