Polis buru lelaki pecahkan dinding kaca Pejabat Agung PAS
Semakan kamera litar tertutup (CCTV) akan dilakukan bagi mengenal pasti suspek berkenaan.

KUALA LUMPUR 29 Julai – Polis mengesan seorang lelaki yang bertindak membaling batu sehingga menyebabkan kerosakan pada Pejabat Agung Pas di ibu negara, awal pagi tadi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan akan dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dibantu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) akan dilakukan bagi mengenal pasti suspek berkenaan.
“Siasatan awal mendapati seorang lelaki yang menunggang motosikal telah membuat bising dan disedari pengawal bangunan tersebut.
“Lelaki itu bertindak membaling batu ke cermin pintu Pejabat Agung Pas,” katanya dalam sidang akbar di Bukit Aman di sini, hari ini.
Katanya, tindakan suspek dilihat pengawal keselamatan bertugas, namun suspek tidak sempat diberkas.
“Suspek kemudiannya bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian.
“Laporan telah dibuat oleh pihak Pas dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pada Sabtu, suasana di Pejabat Agung Pas di sini gempar apabila cermin pintu kaca di bangunan tersebut pecah dipercayai dibaling batu oleh seorang individu tidak dikenali. — Xklusif