Berita

Polis cedera dilanggar motosikal ketika ‘roadblock’ di Chukai

Kejadian berlaku jam 6.20 petang ketika anggota berpangkat sarjan itu bersama lima anggota lain sedang mengadakan SJR di Jalan Limbong Chukai

KEMAMAN 15 Jan – Anggota polis cedera selepas dilanggar sebuah motosikal ketika sekatan jalan raya (SJR) di Bandar Chukai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku jam 6.20 petang ketika anggota berpangkat sarjan itu bersama lima anggota lain sedang mengadakan SJR di Jalan Limbong Chukai.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika sebuah motosikal Yamaha LC ditunggang seorang lelaki melalui SJR di situ.

“Ketika mengarahkan lelaki itu memberhentikan motosikal untuk diperiksa, lelaki itu bertindak memecut untuk meloloskan diri.

“Anggota polis terbabit cuba untuk menahan namun dilanggar oleh motosikal berkenaan,” katanya.

Hanyan berkata, anggota lain yang menyaksikan kejadian itu kemudiannya berjaya menahan suspek.

“Berikutan kejadian, sarjan terbabit cedera di bahagian tangan manakala penunggang motosikal berusia 26 tahun itu turut cedera dan mereka dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati motosikal terbabit tamat tarikh cukai jalan dan pemiliknya turut melakukan pengubahsuaian yang tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan,” katanya.

Katanya, suspek dan motosikalnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 42 (2) Akta Pengangkutan Jalan, APJ, 1987. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button