Berita

Polis dah ‘target’ lokasi PATI, bila-bila masa boleh mula operasi

Lebih 10 kawasan PATI sedang berada dalam radar polis.

KUALA LUMPUR – Lebih 10 kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara dalam radar polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, antara kawasan terbabit adalah di sekitar Lembah Klang, Johor, Kedah dan Kelantan.

“Fokus polis (untuk lakukan serbuan) selepas ini adalah di kawasan di mana premis terbabit dikuasai warga asing selain operasi bersepadu membanteras lambakan warga asing akan dibuat secara konsisten.

“Polis akan terus melancarkan operasi bersepadu dari semasa ke semasa dan masyarakat juga perlu memahami bahawa kadang-kadang kami mempunyai kekangan dari segi penempatan mereka tetapi kita akan terus merancang (operasi) dengan teliti bagi membanteras warga asing (yang tiada dokumen sah),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pada Jumaat.

Majlis itu menyaksikan Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dilantik sebagai Pengarah JPJKK Bukit Aman yang baharu menggantikan Datuk Seri Aidi Ismail.

Mengulas lanjut, ketika ditanya bila operasi seterusnya, Ayob Khan mengharapkan masyarakat untuk memahami bahawa pasukan polis mempunyai kekangan dari segi penempatan untuk meletakkan tahanan kerana kesempitan di depot tahanan imigresen.

“Kita sudah kenal pasti target-target lokasi, saya akan kongsikan saat akhir nanti kerana takut ada kebocoran (maklumat).

“Banyak operasi (penempatan PATI) sebelum ini yang kita buat kebocoran maklumat berlaku, bila datang dah ‘clear’, kosong,” ujarnya.

Dalam operasi pada 21 Disember lalu, seramai 1,101 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan ‘mini Dhaka’ yang dijalankan di sekitar Jalan Silang, Kuala Lumpur.

Operasi Briged Tengah Pasukan Gerakan AM (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) PDRM itu turut merampas 100 karton rokok, 80 karton arak, ubat-ubatan tanpa kelulusan KKM yang dianggarkan bernilai RM104,530. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button