Berita

Polis dedah trend baru campur pelbagai dadah dalam jus, dijual hingga RM300 sebotol

Difahamkan, sindiket yang aktif sejak pertengahan tahun lalu itu mencampurkan lebih lima jenis dadah dalam air jus sebelum dijual dengan harga antara RM180 hingga RM300 sebotol

KUALA LUMPUR – Sindiket edar dadah dalam jus minuman yang menyasarkan pengunjung parti persendirian dan pusat hiburan sebagai ‘pembeli’ tumpas menerusi serbuan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Difahamkan, sindiket yang aktif sejak pertengahan tahun lalu itu mencampurkan lebih lima jenis dadah dalam air jus sebelum dijual dengan harga antara RM180 hingga RM300 sebotol.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, serbuan pada Selasa dan Rabu lalu itu berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia 19 hingga 40 tahun.

“Dalam operasi ini, polis merampas pelbagai dadah dianggar bernilai RM448,850 terdiri 54,550 milimeter jus disyaki dadah, 1.68 kilogram (kg) serbuk MDMA, 144 gram (g) ketamin, lima kilogram serbuk ekstasi, 550 biji pil Eramin 5 dan 2,900 biji pil ekstasi.

“Modus operandi yang digunakan sindiket adalah menjadikan kondominium mewah sebagai tempat memproses dan menyimpan bekalan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini pada Jumaat.

Mohd Kamarudin berkata, dadah itu kemudian akan diedarkan di pusat hiburan sekitar Lembah Klang dan juga diedarkan kepada pelanggan yang melakukan aktiviti parti persendirian (private party).

Tambahnya, kegiatan itu didalangi suspek lelaki berusia 39 tahun.

“Itu trend sekarang, mereka membuat campuran dadah dengan gunakan jus ini.

“Sebelum ini mereka ini hanya fokus penjualan satu dadah saja. Bila buat saringan air kencing, mereka positif lima hingga enam jenis dadah,” ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, suspek direman tujuh hari hingga 23 Januari ini.

“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di mana JSJN menyita pelbagai aset sindiket seperti kenderaan, wang tunai dan barang kemas bernilai RM489,408 dengan nilai keseluruhan rampasan RM938,258,” katanya. – Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button