Berita

Polis didakwa langgar mati pelajar: “Saya sendiri akan pastikan siasatan telus dan adil” – KPN

Razarudin berkata, pegawai itu akan ditahan kerja sebaik didakwa di mahkamah hari ini

KUALA LUMPUR 18 Dis – Keputusan Jabatan Peguam Negara mendakwa pegawai kanan polis yang dipercayai terlibat dalam kemalangan maut seorang pelajar tingkatan lima di Ipoh Jumaat lepas di bawah kesalahan membunuh membuktikan ketelusan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husin berkata tindakan mendakwa pegawai berpangkat DSP itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini diputuskan Jabatan Peguam Negara berdasarkan bukti dan keterangan hasil siasatan menyeluruh pegawai penyiasat.

“Keputusan ini memperlihatkan ketelusan polis dalam melakukan siasatan terhadap sebarang kes jenayah, termasuk melibatkan pegawai kanan polis. Siasatan kes ini dikendalikan ketua polis negeri dan ketua polis daerah Ipoh bersama pasukan siasatan dengan baik dan berkredibiliti.

“Saya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang melakukan jenayah, saya akan pastikan siasatan telus dan adil dijalankan bagi menjaga nama baik pasukan ini,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Jabatan Peguam Negara yang memaklumkan akan mendakwa suspek dipercayai terlibat dengan kes membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Razarudin berkata, pegawai itu akan ditahan kerja sebaik didakwa di mahkamah hari ini.

Pada masa sama, beliau mahu setiap pegawai dan anggota polis mengambil iktibar serta pengajaran daripada kes itu.

Katanya, setiap anggota pasukan keselamatan itu perlu sentiasa menjaga nama baik pasukan dan tidak berselindung di sebalik pakaian seragam polis apabila melakukan jenayah.

Pada 15 Dis lalu, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal dinaikinya dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati dekat SMK Jati di Meru, Ipoh dipercayai dipandu seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

Kemalangan kira-kira 12.30 tengah hari itu menyebabkan Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada dan abdomen.

Susulan itu, pegawai kanan polis terbabit direman tiga hari mulai kelmarin bagi membantu siasatan. – Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button