Berita

Polis Marin gagalkan cubaan seludup 1,000 liter petrol

Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 1,000 liter petrol disyaki cuba diseludup ke negara jiran selepas menyerbu sebuah pondok di kawasan bakau di Kampung Tandu, Lahd Datu, pada Jumaat.

Serbuan itu dilakukan PPM Lahad Datu selepas membuat tugas risikan dan pemantauan di kawasan berkenaan, kira-kira jam 5.30 petang.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, hasil pemeriksaan didapati minyak petrol hampir 1,000 liter disimpan di dalam tangki air plastik warna hitam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Pasukan operasi turut menemukan dua lagi tangki air plastik warna hitam kosong serta satu pam dan dua unit paip plastik turut dirampas.

“Semua minyak petrol yang dirampas itu disyaki cuba diseludup ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Barang rampasan akan diserahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Lahad Datu dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button