Helikopter polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat akan digunakan untuk menghantar bekalan makanan dan keperluan kepada sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) yang terputus hubungan darat akibat banjir di Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat, berkata tujuh PPS tersebut berada di Pengkalan Kubur, Tumpat, manakala dua lagi di Lubuk Jong dan Rantau Panjang, menurut laporan Bernama.
Beliau berkata sebuah helikopter polis telah tiba di Kelantan semalam, bersama kenderaan berat milik Angkatan Tentera Malaysia.
Menurutnya, helikopter tersebut telah digunakan beberapa kali, sekali untuk membawa seorang pesakit dari PPS ke hospital, dan selebihnya untuk menghantar bantuan makanan ke PPS yang terputus hubungan.
Yusoff berkata kenderaan Angkatan Tentera Malaysia akan bersiap sedia untuk membawa calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula pada hari Isnin.
Keadaan banjir di beberapa negeri semakin buruk, dengan jumlah mangsa meningkat kepada 142,684 orang petang ini.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 91,279 orang daripada 28,263 keluarga setakat jam 3.30 petang hari ini, berbanding 80,640 orang pada waktu pagi, dengan kesemua mereka berlindung di 288 PPS.
Sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan maut akibat banjir, tiga di Kelantan dan seorang lagi di Terengganu.
Seorang bayi lelaki berusia setahun jatuh ke dalam banjir dari tingkat atas sebuah rumah dua tingkat di Tumpat pada hari Khamis. Dua lagi kejadian di Kelantan melibatkan seorang lelaki berusia 35 tahun yang terkena renjatan elektrik dan seorang lelaki berusia 64 tahun yang lemas di Machang.
Pada hari Khamis, seorang lelaki berusia 66 tahun lemas di Besut, Terengganu.
‘Pantau cerun bukit’
Sementara itu, timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak berkuasa telah diarahkan untuk meningkatkan pemantauan di kawasan yang berisiko tanah runtuh di sepanjang cerun bukit.
Beliau melawat keluarga dua adik-beradik yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Kota Bharu, semalam. Zahid juga meninjau lokasi tanah runtuh itu bersama pegawai-pegawai dari beberapa jabatan dan agensi kerajaan.
Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, menyerahkan sumbangan kepada ibu mangsa, Ruziah Fuad, 46, yang kini menetap di rumah sewa baharu yang disediakan oleh kerajaan negeri.
Dua adik-beradik itu, Puteri Sajidah, 16, dan Siti Fatimah, 13, ditemui tertimbus dalam tanah runtuh, manakala abang sulung mereka, Uzair Azman, 17, berjaya diselamatkan.
Dalam perkembangan lain, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam menyediakan bantuan kepada mangsa banjir.
Bercakap dalam satu acara di Johor Bahru, beliau berkata inisiatif seperti itu boleh diselaraskan dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat-syarikat terbabit.
Dalam satu perkembangan lain, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, merancang untuk menghantar bantuan kepada Malaysia susulan banjir yang melanda baru-baru ini.
Shehbaz, dalam panggilan telefon kepada Anwar, menyampaikan ucapan takziah dan solidariti.