Berita

Polis sahkan siasat 2 individu kes masuk campur hal agama Islam

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka dua kertas siasatan berhubung kes itu

KUALA LUMPUR 4 Jan – Bukit Aman mengesahkan menyiasat dua individu yang mengeluarkan kenyataan sensitif dan campur tangan dalam isu membabitkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka dua kertas siasatan berhubung kes itu.

Menurutnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 Dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“PDRM turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama membabitkan kegentaran awam dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polis tidak mendedahkan individu yang disiasat itu tetapi pada 30 Disember lalu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dilaporkan memohon maaf selepas mencadangkan agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Ahli Parlimen DAP itu berkata beliau tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan itu yang kemudian ditarik balik.

Beliau mendakwa tidak mengetahui bahawa jawatankuasa khas itu sebenarnya dibentuk oleh MKI yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button