BeritaJenayah

Polis selamatkan 2 warga China yang dipaksa jadi pengemis.

Polis menyelamatkan dua warga China yang kurang upaya, dipercayai dieksploitasi sebagai pengemis, dalam satu operasi di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini semalam.

Ketua Polis Johor Bahru (Utara), Balveer Singh, berkata lelaki berusia 39 tahun dan wanita berusia 36 tahun itu diselamatkan susulan penahanan seorang lelaki berusia 67 tahun di kawasan tersebut.

“Lelaki itu dipercayai bertindak sebagai pengangkut, membawa mangsa untuk mengemis di pasar malam dan kedai makan sekitar Johor Bahru.

“Aktiviti ini dipercayai telah berlangsung sejak awal bulan lalu, dengan pendapatan harian antara RM50 hingga RM150,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis turut merampas beberapa barangan, termasuk telefon bimbit, kad pemandu agensi pengangkutan awam, dan sebuah kereta.

Balveer berkata lelaki tersebut telah direman selama lima hari sementara dua warga asing itu ditempatkan di sebuah tempat perlindungan selama 21 hari di bawah Seksyen 44(2) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Artikel Berkaitan

Back to top button