Polis serbu 1,785 lokasi aktif judi dalam talian, tanpa lesen dalam masa 2 minggu
Polis turut menahan seramai 802 individu termasuk 144 wanita.
KUALA LUMPUR 11 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu 1,785 lokasi aktif menjalankan judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen dalam Op Dadu Khas di seluruh negara, bermula 22 September hingga 5 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata daripada 735 serbuan itu, sebanyak 7,761 individu diperiksa berkaitan judi dalam talian.
Katanya, daripada keseluruhan jumlah individu yang diperiksa itu, seramai 802 ditahan termasuk 144 wanita.
“Bagi loteri awam tanpa lesen pula, sebanyak 1,050 serbuan dilakukan manakala pemeriksaan membabitkan 1,069 individu termasuk 901 lelaki,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Shuhaily berkata serbuan tertinggi direkodkan bagi kes judi dalam talian adalah membabitkan kontinjen Sarawak dengan 151 serbuan, diikuti Pulau Pinang (95) dan Selangor (83).
Katanya, serbuan tertinggi bagi loteri awam tanpa lesen pula direkodkan kontinjen Johor dengan 179, diikuti Selangor (141) dan Perak (102).
“Dalam konteks rampasan judi dalam talian, ia membabitkan wang tunai sebanyak RM108,325 dan 20 unit moden, router (12 unit), tablet (3), laptop (1), telefon bimbit (792) membawa kepada nilai anggaran RM513,025.
“Selain itu, rampasan loteri awam tanpa lesen membabitkan wang tunai bernilai RM161,426, diikuti `mobile printer’ (467 unit) telefon bimbit (907) menjadikan rampasan keseluruhan RM679,816 ,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata sebanyak 735 kertas siasatan membabitkan judi dalam talian dibuka.
Katanya, 123 daripadanya dituduh di mahkamah manakala 31 diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan 581 lagi masih dalam tindakan pegawai penyiasat.
“Bagi judi ekor pula, 1,050 kertas siasatan dibuka. Sebanyak 257 daripadanya telah dituduh di mahkamah manakala 12 diklasifikasikan sebagai NFA. Selain itu, 781 lagi masih dalam tindakan pegawai penyiasat,” katanya.
Shuhaily menegaskan semua kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a), 4(1)(c), 9(1) dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Kerajaan dianggarkan kerugian RM13 juta daripada hasil perjudian haram menerusi Op Dadu Khas yang dijalankan selama dua minggu ini sahaja.
“Kami turut mendapati beberapa modus operandi terbaharu yang dilakukan sindiket bagi menyukarkan pertuduhan seperti mewujudkan orang tengah dan pelaku pula tidak pernah melihat orang tengah ini,” katanya. – Berita Harian