Berita

Polis siasat Ngeh Koo Ham

Siasatan itu berkaitan dengan isu kenyataan sensitif Koo Ham melibatkan MKI.

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Polis membuka kertas inkuiri (KEP) berkaitan kenyataan sensitif Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dalam isu membabitkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, di bawah klasifikasi itu, semua laporan yang diterima diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan memandangkan laporan pertama dibuat di sana.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 16 laporan polis telah dibuat di Perak terhadap pemimpin DAP itu.

“Kita sudah terima 16 laporan, siasatan telah bermula dan dijalankan di bawah KEP,” katanya.

Koo Ham sebelum ini dilapor membuat saranan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Susulan cadangan tersebut, Pengerusi DAP Perak itu mendapat kecaman hebat daripada pemimpin-pemimpin Islam dalam negara.

Dalam pada itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempengerusikan MKI turut mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Justeru, Koo Ham tampil membuat permohonan maaf di atas kesilapannya yang mengeluarkan cadangan tanpa usul periksa terlebih dahulu. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button